Futsal

Rentitan dari karnival permainan baru-baru ini, ianya dipanjangkan ke peringkat negeri dimana Pertandingan Futsal Pendidikan Khas Negeri Johor 2009 telah diadakan di Pusat Futsal Parit Raja Batu Pahat bermula 5 hingga 6 Oktober 2009. 2 orang pelajar PKSMAT telah dipilih untuk mewakili pasukan Futsal Kota Tinggi. Pasukan Kota Tinggi telah disenaraikan bersama-sama pasukan Kluang, Segamat, Pasir Gudang dan Kulai dalam Kumpulan B.
Saingan hebat yang ditunjukkan oleh pasukan lawan menyebabkan pasukan Kota Tinggi hanya mampu menang 2 perlawanan menentang pasukan Kluang dan pasukan Pasir Gudang. Seri dengan pasukan Segamat tanpa sebarang jaringan serta kalah kepada pasukan Kulai dengan jaringan 1-4. Dengan keputusan ini, pasukan Kota Tinggi dan Kulai berjaya melayakkan diri ke pusingan Separuh Akhir bagi menentang pasukan dari Kumpulan A iaitu pasukan Batu Pahat dan Pontian.
Menentang pasukan Batu Pahat yang merupakan johan Kumpulan A memerlukan pencaturan tektikal yang cukup teliti. Alhamdulillah berkat doa dan sokongan guru-guru pengiring dan kontijen maka pasukan Kota Tinggi berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir dengan jaringan 3-1. Menanti pasukan Kota Tinggi di pusingan akhir adalah pasukan Kulai yang setakat ini belum pernah kalah dengan mana-mana pasukan.
Sejurus tiupan wisel permulaan, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan. Hanya sedikit kecuaian dan kelekaan menyebabkan pihak lawan berjaya membolosi gawang. Setelah berhempas pulas pasukan Kota Tinggi tidak dapat menandingi pasukan Kulai. Pasukan Kulai berjaya menundukkan pasukan Kota Tinggi dengan jaringan 3-1.
Salah seorang daripada pelajar PKSMAT telah terpilih untuk mewakili kontijen Johor ke peringkat kebangsaan iaitu Muhamad Najib B. Mahmood. Pihak Editor PKSMAT mengucapkan tahniah atas pemilihan ini dan mendoakan agar beliau berjaya mengharumkan nama sekolah, daerah dan juga negeri nanti.


Naib Johan pertandingan Futsal


Lawatan Ilmiah

Aktiviti pendidikan luar bilik darjah adalah satu aktiviti yang sangat baik dan menarik untuk dilakukan oleh pelajar pendidikan khas. Semasa melakukan aktiviti ini sudah pasti berlakunya proses pembelajaran bersosialisasi di kalangan pelajar. Pada 30 Jun 2009 Pendidikan Khas Daerah Kota Tinggi telah mengadakan Program Lawatan Ilmiah ke Pulau Langkawi. Lawatan selama 4 hari 3 malam ini telah disertai oleh 102 orang pelajar dan 58 orang guru dan ppm (pembantu pengurusan murid) . Penyertaan dari PKSMAT amat menggalakkan dimana program ini telah diserta oleh 7 orang pelajar, 2 orang guru dan seorang ppm.
Rombongan lawatan ini bertolak dari SMK Taman Kota Jaya pada pukul 12 tengahari dengan 4 buah bas persiaran. Setelah beberapa kali berhenti berehat di Hentian R & R di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan akhirnya peserta rombongan sampai di Jeti Kuala Perlis pada pukul 7.45 pagi (1 Julai 2009). Setibanya di jeti peserta rombongan mengambil peluang untuk beristirehat dan bersarapan pagi sebelum menaiki feri ke Pulau Langkawi yang dijadualkan pada pukul 9.00 pagi. Sepanjang program ini, para peserta telah menginap di Apartment Century Suria. Pada hari pertama di Pulau Langkawi, beberapa tempat menarik telah dikunjungi seperti :-
  • Kilang Gamat Warisan
  • Makam Mahsuri
  • Laman Padi
  • Beras Terbakar
Pada hari kedua, seawal pukul 7.00 pagi peserta rombongan telah bersedia untuk menyambung lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Pulau Langkawi antaranya :-
  • Pantai Pasir Hitam
  • Gunung Mat Chincang
  • Pekan Kuah
  • Dataran Helang
Setelah 3 hari berada di Pulau Langkawi, tiba masanya untuk peserta rombongan melambaikan tangan selamat tinggal kepada kedamaian dan keindahan panorama di Pulau Langkawi. Tepat pukul 8 pagi peserta rombongan telah bertolak ke Jeti Kuah untuk mendapatkan feri awal ke Jeti Kuala Perlis. Alhamdulillah kesemua peserta selamat sampai semula di SMK Taman Kota Jaya jam 4.30 pagi.
Secara umumnya objektif lawatan ilmiah ini telah berjaya dicapai antaranya mendedahkan pelajar mengenai tempat-tempat bersejarah di Malaysia, mempelajari jenis-jenis bentuk muka bumi yang terdapat di Malaysia dan menguruskan perbelanjaan secara teratur sepanjang lawatan.



Kereta Kabel Langkawi


Gaya masing-masing





Jualan Kejohanan Olahraga MSSJ

Buat julung-julung kalinya PPD Kota Tinggi telah dipilih sebagai tuan rumah bagi Kejohanan Olahraga MSSJ Pendidikan Khas 2009. Kejohanan yang diadakan di Stadium Bandar Penawar bermula dari 21 sehingga 23 April itu disertai oleh atlit-atlit seluruh negeri Johor. 2 orang atlit PKSMAT juga turut tersenarai dalam kontijen Kota Tinggi iaitu pasangan adik beradik Muhamad Rasyid B. Mahmood dan Muhamad Najib B. Mahmood. Sepanjang kejohanan itu, PKSMAT telah mengambil peluang keemasan tersebut untuk melakukan aktiviti jualan kepada para pengunjung.
Aktiviti jualan yang melibatkan pelajar-pelajar PKSMAT ini telah memberikan pengalaman yang cukup bermakna dimana ia melatih dan mendidik mereka untuk merancang, keberanian mengambil risiko, kejujuran dalam urusniaga dan semangat bekerjasama. Antara barangan yang diurusniagakan adalah seperti berikut :
  1. Roti Sosej
  2. Kerepek
  3. Dadih
  4. Air kotak
  5. Air berkarbonat
  6. Air Mineral
  7. Ais Krim
Walaupun jumlah keuntungan yang dicatatkan tidak begitu tinggi namun ia sudah cukup membuktikan aktiviti urusniaga boleh menjana pendapatan kepada mereka apabila mereka serius untuk memilih bidang ini selepas tamat alam persekolahan kelak.





Antara iklan-iklan yang digunakan semasa aktiviti jualan



Video klip Pendidikan Khas



Ini adalah video klip yang sempat di tenyeh-tenyeh untuk program kolaborasi bersama ibu bapa dan murid-murid PKSMAT bagi membincangkan Rancangan Pelajaran Individu (RPI) (buat yang simple-simple jek..simple-simple pun 2 malam tak tido lena huhuhuhuhu)..Alhamdulillah semua berjalan lancar. Setakat ini respon daripada ibubapa dan murid-murid pun ok sebab masing-masing suka tengok gambar sendiri walaupun dah tayang 4-5 kali..hehehehe.
Saksikanlah....

Semarak Islam



Program Semarak Islam Pendidikan Khas Daerah Kota Tinggi merupakan salah satu program yang dijalankan bagi memberi peluang kepada murid berkeperluan khas mempertingkatkan potensi diri dan sahsiah bagi memenuhi tuntutan rohani. Program yang diadakan di SK Bandar Penawar 2 ini telah mempertandingkan beberapa acara seperti pertandingan tilawah Al-Quran, bercerita, tulisan khat, azan, nasyid dan hafazan.

Pelajar PKSMAT telah menyertai hampir kesemua acara yang dipertandingkan kecuali tilawah Al-Quran. Atas komitmen dan usaha yang dilakukan sebelum dan semasa pertandingan, alhamdulillah pelajar PKSMAT telah berjaya membawa balik hadiah yang telah dipertandingkan . Diantaranya seperti berikut :

Acara Bercerita (kisah-kisah nabi) - Tempat ke-2
Acara Hafazan - Tempat ke-2
Acara Tulisan Khat (Lelaki) - Tempat ke-5
Acara Tulisan Khat (Perempuan) - Tempat ke-5

Semoga program ini dapat memperkembangkan potensi dan bakat murid berkeperluan khas dalam semua bidang kurikulum dan kokurikulum.

Kejohanan olahraga Pendidikan Khas



Pada 23 Februari, Program Pendidikan Khas telah mengadakan Kejohanan Olahraga Peringkat Daerah. Program ini telah berlangsung di Stadium Penawar, Bandar Penawar Kota Tinggi. Sebanyak 62 buah sekolah rendah dan 39 buah sekolah menengah telah turut serta dalam kejohanan ini. Program ini diadakan bagi mencungkil bakal-bakat murid berkeperluan khas dalam bidang sukan untuk diketengahkan bagi mewakili Kontijen Sukan Kota Tinggi di peringkat Negeri.

Kontijen PKSMAT telah menyertai beberapa acara yang dipertandingkan dan menangi 1 Emas (Lompat Tinggi Perempuan Senior), 3 Perak (Lompat Tinggi Lelaki Senior, Lompat Tinggi Perempuan Senior dan Lontar Peluru Lelaki Junior) dan 1 Gangsa (4x100 m Perempuan Senior). Seramai 4 atlit PKSMAT telah terpilih mengikuti latihan pusat bagi persiapan Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas peringkat Negeri yang diadakan di Stadium Penawar, Bandar Penawar pada 21 April 2009.

Ucapan Tahniah kepada Atlit PKSMAT yang berjaya. Semoga pencapaian ini dapat dipertingkatkan bagi kejohanan olahraga tahun depan. Syabas!!


Aktiviti Gotong Royong

Pada 5 Februari, PKSMAT telah mengadakan gotong royong membersihkan kolam ikan berhadapan bilik seminar sekolah. Aktiviti ini telah melibatkan penyertaan kesemua murid-murid dan guru-guru PKSMAT yang diketuai Cik Roszani Binti Selamat sebagai penyelaras program. Aktiviti yang bermula seawal 8.00 pagi ini bertujuan mendedahkan murid-murid PKSMAT tentang kepentingan menjaga kebersihan sekeliling disamping mengajar mereka tentang aspek pengurusan diri.
Selain itu aktiviti ini dapat menanamkan semangat bekerjasama dan saling bantu membantu antara satu sama lain agar setiap tugasan yang diberikan dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan. Aktiviti ini dimulai dengan membuang air kolam, mengeluarkan ikan, mencuci dan seterusnya mengisi semula air ke dalam kolam. Aktiviti ini berakhir pada pukul 9.30 pagi


Matlamat

Menjelang tahun 2012, Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar akan
  1. Meningkatkan peratus kelulusan peperiksaan PMR sebanyak 79% dan peningkatan Gred Purata Individu sebanyak 2.25.
  2. Melahirkan murid yang lulus dalam peperiksaan SPM ke arah 100% di samping Gred Purata Individu pada tahap 5.0.
  3. Meningkatkan tahap kecekapan murid dalam bidang kokurikulum sekurang-kurangnya dua tempat teratas dalam pertandingan yang disertai diperingkat daerah dan negeri
  4. Meningkatkan tahap disiplin murid dengan menurunkan kes salah laku sebanyak 4% setahun.
  5. Meningkatkan prasarana sekolah khususnya bilik darjah.
  6. Memastikan murid-murid tingkatan 2 dan ke atas boleh membaca dalam Bahasa Melayu.
  7. Memastikan 75% murid boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris.
  8. Melahirkan murid-murid yang celik teknologi maklumat (IT).

MISI



MEMBANGUN POTENSI INDIVIDU MELALUI
PENDIDIKAN BERKUALITI MENJELANG TAHUN 2012

Visi



SEKOLAH UNGGUL PENJANA GENERASI TERBILANG

Lencana Sekolah



Maklumat Asas Sekolah


Lokasi sekolah ( klik gambar untuk lihat dengan lebih jelas )

Keluasan : 35.79 ekar
Kawasan Parlimen : Kota Tinggi
Kawasan DUN : Johor Lama
Mukim : Kota Tinggi
Kedudukan : Felda Air Tawar 2
Mula buka sekolah : 1976
Jarak ke PPD Kota Tinggi : 19 KM
Jarak ke JPNJ Johor Bahru : 59 KM
Sekolah saluran :
  1. SK LKTP Air Tawar 1
  2. SK Dato' Ismail Sa'adon
  3. SK Muzaffar Syah
  4. SK Telok Sengat
  5. SK Johor Kampung
  6. SK Tanjung Buai
  7. SK Panchor

Sejarah Sekolah


Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar ditubuhkan pada tahun 1974. Pada masa itu ia merupakan cawangan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab Kota Tinggi bertempat di Felda Air Tawar 1. Pada ketika itu ianya ditadbirkan oleh seorang penyelia.
Pada tahun 1976, cawangan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab bertukar nama kepada Sekolah Menengah Air Tawar. Ia mula menggunakan lambang sekolah sendiri dan pada tahun inilah seorang pengetua telah dilantik bagi mentadbirkan pengurusan dan perjalanan sekolah. Pada tahun yang sama juga peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran telah diperkenalkan di sekolah ini. Bagi pelajar yang lulus dan mampu melanjutkan pelajaran, mereka di hantar ke Sekolah Menengah Laksamana dan Sekolah Menengah Tun Habab untuk menduduki tingkatan 4 dan 5.
Sekolah Menengah Kebangsaan Air Tawar telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 29 Jun 1985 bersamaan 10 Syawal 1405 Hijrah. Sehingga kini seramai 8 orang pengetua dan seorang pemangku pengetua telah bertugas mentadbir sekolah ini iaitu
  1. En Abdullah b Haji Nasir 1976
  2. En Ismail b Johari 1978
  3. En Samsi b Nasir 1982
  4. En Zainal b Nong 1986
  5. Tuan Hj Yusuf b Ab. Rahman 1989
  6. Tuan Hj Ishak b Isnin (pemangku) 1991
  7. Tuan Hj Abd. Karim b Harun 1992
  8. Tuan Hj Wan Ismail b Wan Ahmad 1995
  9. Tuan Hj Marsono b Legino 1999
  10. Tuan Hj Abd. Kadir b Basiran 2004
  11. En Ramlan b Abdul Rawi 2006

Organisasi Kurikulum

Kurikulum pelajar-pelajar bermasalah pembelajaran dirancang untuk membolehkan kanak-kanak mencapai kemahiran berdasarkan objektif-objektif yang telah ditetapkan. Kurikulum ini mengandungi bidang-bidang berikut :
A : Bidang Komunikasi
B : Bidang Sosial dan Persekitaran
C : Bidang Kemahiran Hidup
D : Bidang Rekreasi dan Daya Kreatif
E : Bidang Nilai dan Kerohanian

Prinip Pengajaran dan Pembelajaran

Prinsip pengajaran dan pembelajaran yang dicadangkan hendaklah mempertimbangkan kemampuan, kebolehan, keupayaan dan kesediaan murid-murid mengikut peringkat perkembangan mereka.
prinsip-prinsip tersebut hendaklah :
  1. Berstruktur dan dirancang mengikut langkah demi langkah secara terperinci untuk membolehkan murid-murid menguasai setiap peringkat kemahiran yang diajar.
  2. Mempunyai unsur-unsur mudah ubah bagi membolehkan penyesuaian aktiviti dengan keupayaan setiap murid.
  3. Dapat memberi pengukuhan terhadap setiap kemahiran yang diajar dan dipelajari oleh murid-murid sehingga menjadi mantap.
  4. Menentukan pencapaian ke tahap optima yang dapat dipelajari oleh setiap murid untuk mengelakkan kekecewaan dan perasaan jemu.
  5. Memberi penekanan kepada rangsangan dan ulangan.
  6. Menghadkan konsep atau kemahiran yang diajar dalam satu-satu masa untuk memberi pengalaman kejayaan kepada murid-murid.
  7. Mengelakkan murid-murid menjalankan tugas yang kompleks.
  8. Berkaitan rapat dengan objektif pelajaran, masalah situasi yang dapat difahami dan persekitaran murid-murid itu sendiri.
  9. Sentiasa mempunyai aktiviti yang mengukuhkan koordinasi motor kasar dan motor halus.
  10. Memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menggunakan kreativiti mereka.

Ciri-ciri kanak-kanak Bermasalah Pembelajaran

Terdapat banyak ciri-ciri kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran. Antara ciri-ciri yang mungkin dapat membantu pakar-pakar diagnostik dan guru-guru dalam mengenal pasti dan mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran ialah :

Fizikal
  • Bentuk badan, berat badan dan koordinasi motor murid-murid ini tidak banyak berbeza dengan murid-murid biasa.
Intelek
  • terdapat kelewatan dalam perkembangan kematangan dan fungsi-fungsi intelek yang tertentu yang diperlukan dalam pembelajaran di sekolah. sebagai contohnya, mereka yang mempunyai rendah daya ingatan, kebolehan terhad dalam bidang generalisasi, penguasaan bahasa yang terhad, kesulitan dalam pengamatan dan memahami konsep serta daya kreatif yang rendah
  • kesediaan belajar dan keupayaan menerima pelajaran bagi murid-murid bermasalah pembelajaran tidak sama dengan murid-murid biasa. Mereka hanya dapat mempelajari apa yang dipelajari oleh murid-murid biasa berumur 6 tahun pada peringkat umur 8 tahun atau lebih
Tingkah laku
  • mempunyai bidang perhatian yang singkat atau kurang tumpuan terhadap sesuatu
  • mudah kecewa disebabkan pengalaman kegagalan yang berulang-ulang hasil daripada pengharapan masyarakat supaya mereka berfungsi sesuai dengan umur kronologi mereka.
  • Minat dan sikap sosial mereka tidak selaras dengan tingkahlaku murid-murid biasa
  • minat mereka adalah selaras dengan murid-murid yang mempunyai mental yang sama dengan mereka.


Definisi Pelajar Bermasalah Pembelajaran

Pelajar-pelajar Bermasalahan Pembelajaran (BP) merupakan pelajar-pelajar yang telah dikenal pasti dan disahkan oleh pakar profesional klinikal sebagai individu yang mengalami kecacatan yang mengganggu proses pembelajaran. Kecacatan yang dialami boleh dikategorikan mengikut tahap kefungsian pelajar-pelajar dalam kebolehan-kebolehan berikut :
  1. Kebolehan kognitif
  2. Tingkahlaku sosial / Perkembangan sosial
  3. Penguasaan bahasa (lisan/pertuturan)
  4. Keupayaan membaca
  5. Kemahiran perkembangan (developmental skills)
  6. Kemahiran matematik

Falsafah Pendidikan Khas

Pendidikan Khas di Malaysia adalah satu usaha berterusan untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berhaluan, berupaya, beriman, berdikari, mampu merancang, dan menguruskan kehidupan serta menyedari potensi diri sendiri sebagai seorang individu dan ahli masyarakat yang seimbang dan produktif selaras dengan falsafah pendidikan negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani. emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Sejarah Pendidikan Negara

Sejarah Pendidikan di Malaysia

Penyata Razak 1956 dan Ordinan Pelajaran 1957 - Zaman Pengukuhan

* Pembentukan satu sistem pendidikan kebangsaan
* Pengakuan matlamat akhir Bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar utama
* Permulaan kurikulum yang berorientasikan alam sekeliling Malaysia
* Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua

Laporan Rahman Talib dan Akta Pelajaran 1961 - Zaman Kemaskini

* Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
* Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini
* Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
* Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
* Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
* Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan

Ciri-ciri Laporan Kabinet 1979

* Penegasan kepada pendidikan asas 3M membaca, menulis dan mengira
* Penegasan kepada pendidikan kerohanian yang kukuh dan unsur-unsur disiplin yang diingini
* Penegasan kepada kurikulum ala Malaysia
* Pendidikan menengah atas melalui dua jurusan, akademik dan vokasional
* Peluang melanjutkan persekolahan dari 9 tahun ke 11 tahun
* Melicinkan tatacara pengurusan pelajaran meningkatkan mutu pelajaran keseluruhan

Rang Undang Undang Pendidikan 1995

Sistem pendidikan kebangsaan dicorakkan untuk menghasilkan pendidikan bertaraf dunia dari segi kualiti untuk mencapai aspirasi negara.

* Falsafah Pendidikan Negara dijadikan landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan
* Tempoh pendidikan rendah adalah antara 5-7 tahun
* Pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan
* Pendidikan teknik & politeknik dipertingkatkan
* Peruntukan diadakan bagi mengawal selia pendidikan swasta


Sistem Pendidikan Kebangsaan di peringkat sekolah di bawah Kategori Institusi Pendidikan Kerajaan terdiri daripada:-

(a) Pendidikan Prasekolah
* Program pendidikan bagi murid yang berumur dari empat hingga enam tahun;

(b) Pendidikan Rendah
* Kursus pengajian pada peringkat rendah yang direncanakan bagi tempoh enam tahun tetapi yang boleh tamat diikuti dalam tempoh antara lima hinggah tujuh tahun;
* Ia terdiri daripada Sekolah Kebangsaan atau Sekolah Jenis Kebangsaan;

(c) Pendidikan Menengah
* Pendidikan yang terdiri daripada pendidikan Menengah Rendah dan Menengah Atas;
* Pendidikan Menengah yang diadakan terdiri daripada
o Sekolah Akademik
o Sekolah Teknik dan Vokasional
o Sekolah Kebangsaan Agama

(d) Pendidikan Lepas Menengah
* Pendidikan yang disediakan untuk seseorang yang sudah tamat mengikuti pendidikan menengah rendah dan menengah atas, tetapi tidak termasuk pendidikan tinggi.
* Persekolahan di bawah Kategori Institusi Pendidikan Bantuan Kerajaan pula adalah bagi Sekolah Berasrama Penuh yang ditanggungjawabkan kepada Unit Sekolah Berasrama Penuh Bahagian Sekolah.
* Institusi pendidikan lain di peringkat persekolahan yang ditubuhkan adalah :-
o Sekolah Pendidikan Khas yang ditanggungjawabkan kepada Jabatan Pendidikan Khas.
o Sekolah Sukan yang ditanggungjawabkan kepada Bahagian Sukan.



Falsafah Pendidikan Negara

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Objektif

Setiap murid diberi peluang dan bimbingan yang seluas-luasnya untuk membolehkan mereka
  1. Menguasai kemahiran berkomunikasi.
  2. Menguasai kemahiran berinteraksi dan menyesuaikan diri dalam masyarakat.
  3. mengetahui dan memperkembangkan perasaan ingin tahu mengenai hal diri dan alam sekitar.
  4. Menjaga kesihatan dan keselamatan diri.
  5. Menguruskan hal-hal kehidupan harian.
  6. Mempunyai keyakinan diri dan konsep kendiri yang positif.
  7. Melibatkan diri dalam kegiatan rekreasi.
  8. Memahami keperluan perkembangan jasmani serta menguasai kemahiran motor.
  9. Menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni.
  10. Memperkembangkan potensi, bakat, daya kreatif dan intelek.
  11. Membolehkan murid melakukan praktis asas dan dapat menjalankan kerja dengan sendiri.
  12. Menguasai kemahiran-kemahiran asas ke arah bidang kerjaya.

Matlamat

Kurikulum murid-murid bermasalah pembelajaran adalah bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran tertentu bagi membantu mencapai perkembangan yang menyeluruh. perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika dan sosial agar mereka boleh menjadi ahli masyarakat yang berdikari dan dapat menyumbangkan kepada pembangunan negara serta memberi sumbangan kepada keharmonian dan kemakmuranan masyarakat dan negara.

Rasional

Kanak-kanak yang menghadapi masalah pembelajaran berupaya untuk menerima pendidikan yang sesuai dengan kemampuan dan perkembangan mereka secara menyeluruh. Hanya sekadar mereka kurang bertindakbalas kepada strategi pengajaran dan pembelajaran biasa. Oleh itu satu program khas perlu disediakan untuk memenuhi keperluan murid-murid ini dengan mengambilkira aspek-aspek seperti masa, bahan, budaya, kelas, teknik mengajar, bantuan kepakaran dan penglibatan masyarakat.